- Views4357
- Likes0
Dato’ Seri
Dibentangkan oleh The Actors Studio Seni Teater Rakyat
Pengarah: Omar Ali
10-13 May 2018
Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre
Review by Fasyali Fadzly
Dato’ Seri membuka persembahannya pada hari pertama Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional yang telah mentadbir negara selama 61 tahun. Saya menontonnya pada persembahan terakhir iaitu pada hari Ahad, 13 Mei 2018, empat hari pentadbiran baharu kerajaan Pakatan Harapan. Walaupun cuma empat hari, mentaliti politik lama Barisan Nasional masih terkesan dan pemikiran baharu sudah pun sedikit sebanyak mengambil alih. Begitu sukar untuk tidak menggunakan lensa politik semasa ketika menonton teater ini.
Dato’ Seri diadaptasi daripada naskhah Macbeth karya Shakespeare. Pementasan adaptasi yang pertama telah dibuat pada tahun 2016 sempena 400 tahun memperingati kelahiran Shakespeare. Skrip ini diadaptasi oleh gandingan ayah-anak Tan Sri Muhammad Ali Hashim (Allahyarham) dan Omar Ali. Pementasan 2018 telah diarahkan oleh Omar Ali sendiri dengan Redza Minhat memegang watak Dato’ DiKajang (Macbeth) dan Nadia Aqilah memegang watak Datin DiKajang (Lady Macbeth). Redza dan Aqilah adalah antara gandingan baharu dalam pementasan pada kali ini menggantikan beberapa barisan pelakon lain dari pementasan tahun 2016.
Dato’ Seri adalah sebuah adaptasi karya Shakespeare yang kemas. Sebuah negara bernama Pertiwi diwujudkan dalam pementasan ini yang menyerupai sosiopolitik negara Malaysia semasa era kolonial. Kesemua watak dipakaikan dengan pakaian sut kemas dan bersongkok bagi lelaki dan kebaya serta batik bagi wanita. Rekaan kostum oleh Dominique Devorsine memberi maklumat jelas tentang latar masa dan politik dalam Pertiwi seolah-olah memberi gambaran kewujudan dunia Pertiwi. Walaupun berlaku pada era kolonial, tiada bayang Inggeris wujud dalam pementasan ini. Berkemungkinan inilah gambaran yang ingin diwujudkan oleh Omar Ali dalam negara Pertiwi yang bebas pengaruh Inggeris.
Adaptasi yang kemas ini juga memberikan akses mudah kepada penonton yang tidak mengetahui karya asal Macbeth. Nama-nama watak asal ditukarkan kepada gelaran-gelaran yang biasa ditemui dalam sistem feudal Melayu. Gelaran-gelaran seperti Dato’, Dato’ Seri, Tun, Tengku Mahkota dan sebagainya digunapakai. Sebagai rakyat Malaysia yang mewarisi sistem feudalisme ini, penonton dengan mudah menyusun hirarki golongan pembesar ini sekaligus sangat arif dengan niat Dato’ DiKajang dalam merebut takhta dalam negara Pertiwi. Kita fasih dengan permainan Dato’ DiKajang yang mabuk kuasa dan darjat.
Lakonan Redza perlu diberi pujian kerana berjaya menterjemahkan watak ini dengan baik. Sememangnya watak Dato’ DiKajang/Macbeth ini adalah antara watak yang diidamkan oleh ramai pelakon. Namun begitu, terdapat ruang aksi yang sedikit longgar dipamerkan oleh Redza dalam mencari dimensi baharu watak ini. Kemuncak cabaran watak ini saya kira adalah pada ketika dia mula berhalusinasi dan ternampak bayangan Raja Jayaputera ketika majlis keramaian. Adegan yang sukar diterjemahkan ini memerlukan pelbagai aspek teaterikal yang lain. Kebiasaan pengarah akan menjelmakan watak yang dibunuh iaitu Raja Jayaputera/Duncan. Namun Omar mengambil pendekatan untuk tidak menampilkan watak ini secara fizikal di atas pentas. Pencahayaan dan kesan bunyi digunakan untuk menterjemah adegan ini yang saya kira kurang mencukupi untuk menggambarkan kegilaan Macbeth. Dapat dilihat bahawa Omar sememangnya mahu mencabar lakonan Redza untuk menterjemah adegan ini.
Lakonan Nadia Aqilah juga perlu dipuji. Dimensi lain Lady Macbeth/Datin DiKajang terpapar dengan baik di dalam pementasan ini. Pemilihan aksi yang lebih subtle menjadikan pasangan Dato’ dan Datin DiKajang mempunyai perancangan yang lebih teliti dan licik. Kemahiran ilmu hitam yang dimilikinya juga memberi justifikasi yang jelas mengapa Dato’ DiKajang begitu yakin dengan kata-kata dan ramalan bomoh bertiga. Selain mereka berdua, pemilihan pelakon-pelakon lain juga saling melengkapi. Ia sebuah persembahan berkumpulan yang baik dan seimbang. Setiap pelakon tahu peranan masing-masing dan percaya dengan haluan pengarah lantas komited menterjemah watak masing-masing dengan sempurna.
Dunia Pertiwi juga divisualkan dengan baik. Adegan pertama dipertontonkan dengan berita negara Pertiwi yang melaporkan tentang kemenangan negara tersebut dalam peperangan. Klip berita dengan gaya siaran TV hitam putih ini juga memberi indikasi latar masa dunia fiksi ini. Rekaan bunyi yang dihasilkan oleh Khairil Imran seharusnya diberikan pujian kerana berjaya melatari visual yang ringkas dengan kesan yang sangat mendalam. Bacaan berita yang kedengaran seperti sistem audio TV antik menyokong visual yang diberikan. Dalam beberapa adegan, kesan bunyi, walaupun kadang-kadang perlahan dan subtle, memberikan impak yang sangat besar. Bunyi not muzik yang rendah dan sekata itu seperti mengheret jiwa penonton untuk bersama-sama dalam rancangan jahat dan keji Dato’ dan Datin DiKajang. Kesan bunyi yang tak ‘terdengar’ inilah yang digarap dengan baik di dalam pementasan ini. Ia cuma melatari dan tidak terlalu ketara sehingga menenggelamkan muzikaliti dan alunan dialog yang indah.
Set yang digunakan juga ringkas dan bersesuaian dengan pementasan ini. Yusman Mokhtar sebagai pereka set bijak mempamerkan bentuk set yang seolah-olah sarung-sarung keris Melayu kelihatan terpacak separuh di atas pentas. Tanpa elemen dekoratif yang berlebihan, ia memberi sentuhan moden dan praktikal. Dengan permainan cahaya yang juga direka oleh Yusman, ruang ini mampu bertukar menjadi sangat secretive atau terbuka; keramaian atau keseorangan. Ketakketaraan (subtlety) menterjemah ruang untuk watak kaum Melayu moden ini begitu praktikal dan saling melengkapi dengan aspek sinografi yang lain.
Dato’ Seri diterjemahkan dengan penuh berhati-hati dan teliti. Dengan menekankan sistem feudalisme yang wujud dalam alam Melayu, Omar menjelaskan bahawa sistem ini mempunyai sisi yang gelap. Kita sendiri dengan melihat dalam lensa politik Malaysia baharu bahawa kuasa dan darjat ini sesuatu yang sangat mengerikan jika disalahguna. Saya tidak dapat membayangkan sekiranya pementasan ini dilakukan sebelum Pilihanraya Umum ke-14 atau sekiranya Barisan Nasional masih lagi mentadbir negara. Pementasan ini mungkin akan jadi momokan yang mengerikan buat kita yang masih terperangkap. Namun, dengan lensa politik yang baharu dan tanggapan yang lebih optimistik, pementasan ini menjadi peringatan kepada penonton tentang kuasa dan kepincangannya. Dato’ Seri mungkin boleh menjadi ringkasan kisah kejatuhan UMNO-BN.
Di akhir adegan, ketika Tengku Mahkota ditabalkan kembali menjadi Raja Jayaputera, seorang anak kecil bernama Bintan (atau Fleance, lakonan Fatin Syazwanie) memerhatikan upacara ini dengan wajah yang kosong. Semua watak meninggalkan pentas kecuali Bintan yang berdiri dengan wajah yang berharap menanti jawapan yang bakal menemuinya di masa hadapan. Akhir adegan ini merupakan satu kenyataan provokasi yang Omar tinggalkan melalui watak orang muda. Bagaimanakah masa depan anak muda di Jayaputera yang baharu? Mungkin soalan yang sama untuk kita semua jawab di era Malaysia yang baharu.
Fasyali Fadzly adalah seorang penggemar teater yang kadang-kala menulis skrip dan mengarah teater secara kecil-kecilan. Beliau kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.
Foto ihsan The Kuala Lumpur Performing Arts Centre.