- Views4399
- Likes1
Kejuaraan Tari Kanak-kanak Malaysia 2019
03 – 04 September 2019
Sempena Festival Tari Malaysia
Istana Budaya, Kuala Lumpur
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)
Ulasan oleh Leng Poh Gee
Kejuaraan Tari Kanak-kanak Malaysia 2019, anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), mempunyai dua peringkat: peringkat saringan yang telah diadakan pada 19 Julai – 08 Ogos 2019 di setiap negeri, serta peringkat akhir yang telah dipertandingkan pada 03 – 04 September 2019 di Istana Budaya, Kuala Lumpur sempena Festival Tari Malaysia 2019. Kejuaraan ini terdiri daripada tiga kategori: solo, duo dan kumpulan. Empat kumpulan, empat duo dan empat solo telah dipilih ke peringkat akhir setelah melalui proses peringkat seringan yang penuh dengan debat. Kesungguhan, kecomelan, kegementaran dan kemanjaan kanak-kanak dari 14 negeri sentiasa berada di memori saya, sebagai salah seorang juri.
Koreografer Chia Kai Xian, dari Kedah, telah melayakkan penarinya (satu solo dan satu duo) ke peringkat akhir. Kreasi tari solo Kegembiraan Puisi Buluh yang dipersembahkan oleh Beh Yi Qhi memanipulasikan sebatang buluh. Buluh memiliki pelbagai makna yang simbolik di falsafah kehidupan masyarakat Cina: keboleh-lenturan, ketegakan, kehijauan dan kekosongan batang melambangkan ciri-ciri ketabahan dan kesederhanaan yang penting dalam mengekalkan keharmonian kehidupan. Buluh itu dijadikan watak kedua yang mesra bermain bersama dan menyokong badan penari. Irama Kebahagian yang dipersembahkan oleh Lai Xinyan dan Chan Yi Jie yang juga dari Kedah, memperalatkan kipas dengan teknik dan cara manipulasi yang sederhana. Kedua-dua karya tersebut memiliki tema persembahan yang sesuai untuk kanak-kanak, ceria, dengan memaparkan tanda-tanda tari Cina yang konvensional.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut memiliki satu wakil di kategori solo dan duo masing-masing. Dalam Segumbal Benang yang dihasilkan oleh Aznizan bin Mohamad Kamal, penari Dahlia Kaseh binti Nurul Shahrin memperolehi kemajuan yang paling mendadak berbanding dengan pusingan saringan. Teknik tarinya telah diperhalusi dan motif pergerakan jahitan atau tenunan adalah lebih jelas kelihatan. Namun saya mencadangkan bahawa tema koreografi yang berkaitan dengan latihan kesabaran melalui jahitan boleh diubahsuaikan kerana pemain yang muda adalah kurang menghayati konsep ‘kesabaran’ secara konkrit, dan tarian tersebut disudahi dengan pengisian pelbagai gerak yang tidak relevan. Khairul Azhar bin Mokhtar mengkaryakan Barojin yang memanipulasikan dulang dan dimainkan oleh adik Aimanulhakim bin Mohd Fuzi dan Nuratiqah Aina binti Azahari. Kreasi ini menghilangkan ciri-ciri gerak pengkhususan gender dengan kedua-dua penari mengaksikan gerak silat dalam perarakan junjungan dengan kualiti ketangkasan dan kehalusan yang sama. Dicadangkan bahawa kenakalan dan perasaan keinginan makan budak-budak boleh dipamerkan sepanjang tari tersebut, supaya pujian ke atas makanan yang lazat pada akhir tari adalah lebih wajar dan berimpak.
Negeri Sabah mempunyai empat penyertaan (dua solo dan dua duo). Keempat-empat karya itu adalah lancar, bertenaga dan amat bertunjangkan elemen lokal. Tombiruo, hasil karya Abi Asyraf Afi bin Aji jelas mengubahkan penari Muhamad Darwish Dasuki bin Dermasa menjadi seorang bobolian yang berani dan bergaya. Darwish memaparkan keangkuhan lelaki melalui pergerakan yang sangat fokus, agresif dan tajam, walaupun hanya menggunakan motif gerak asas Sumayau. Pencapaian ruang kinesferanaya adalah maksimum walaupun hanya memiliki badan yang kecil. Penari Efra Siska Beli pula menunjukkan kualiti feminin yang gagah melalui Doh Kering, hasil karya daripada Arthur Darren Jacob. Efra berupaya mengawal teknik yang dinamik secara teliti. Saya suka perubahan kirip yang telah dikecilkan sebesar tapak tangan – ia menunjukkan satu adaptasi demi penerusan tradisi, melalui perubahan peralatan yang lebih mudah dibawa tanpa menghilangkan makna simboliknya. Namun, saya mencadangkan supaya lebih cara manipulasi boleh dilakukan ke atas kirip, dan bukan sekadar perhiasan.
Debbie Janes Lim menghasilkan Sunduan Tokou dengan dua penari cilik, Ecnerwal Yvan De Lawrence dan Presly Onielder Paul. Kegiatan menangkap ikan telah diolah dengan kegunaan bubu. Walaupun kedua-dua penari nampak agak cemas, saya mencadangkan bahawa interaksi antara kedua-duanya boleh ditingkatkan melalui aksi permainan bubu yang berlebihan, peniruan gerak ikan, serta pemindahan berat yang melibatkan angkat-mengangkat di antara kedua-duanya. Perhiasan lampu LED yang berada di dalam bubu dicadangkan supaya dikaitkan dengan penarikan perhatian ikan dan bukan sekadar perhiasan. Perurum, yang dihasilkan oleh Mohd Taufiq Mubarikusain memaparkan bakat penari perempuan Charlanne Evianna Felix dan Nurul Damia Qistina Hendra Octovian yang memiliki pemahaman kinestetik yang tinggi dalam aspek ruang dan dinamik gerak. Mereka berpusing dengan lincah dan berhenti pada aras dan arah yang jelas. Mereka menghasilkan pola lantai yang berlingkaran seperti mencari, mengikuti atau melindungi satu sama lain. Pergerakan liuk tangan dan lengan adalah definitif. Namun, dicadangkan bahawa satu-satunya topi (siraung) sebagai tanda persahabatan boleh diperalatkan terlebih dahulu untuk memaknakan keakraban sahabat supaya lebih mewajarkan keperluan serahan topi kepada yang lain pada akhir tari. Manipulasi topi sepanjang kreasi turut boleh mengurangkan ‘kedinginan’ persembahan supaya tidak tergolong dalam tari hanya pergerakan (pure movement).
14 Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) yang ditubuh dan diselia oleh JKKN Negeri masing-masing telah bertanding. Empat KBSC telah berjaya ke peringkat akhir, dari Melaka, Kuala Lumpur, Perak dan Sabah. Pertandingan antara KBSC negeri masing-masing merupakan salah satu acara yang paling terserlah sempena Festival Tari Malaysia. Sesetengah KBSC negeri telah melakukan persiapan dari awal tahun lagi apabila program Kejuaraan Tari Kanak-kanak Malaysia diumumkan. Saya berasa keempat-empat KBSC di peringkat akhir memiliki keunikan masing-masing yang mampu memahatkan ciri-ciri kecomelan, keindahan dan kesungguhan kanak-kanak di kalangan penonton.
KBSC Sabah mempersembahkan Bhilod In Lo Kakandang (Padi Dalam Guni) yang dicipta oleh Hasni binti Abu Hasan, manakala KBSC Perak mempersembahkan Kukur Kelapa yang dihasilkan oleh Hazida binti Hashim. Kedua-duanya karya tersebut berkongsi beberapa tema yang sama: berkaitan dengan makanan, perekaan pergerakan adalah diolah daripada aktiviti rakyat yang mampu membangkitkan perasaan nostalgia perkampungan, serta merangsangkan perasaan kesyukuran ke atas alam yang membekalkan rezeki makanan. KBSC Sabah memanipulasikan guni padi manakala KBSC Perak memperalatkan kukur kelapa sebagai sumber pengolahan pergerakan. Guni yang besar dan berat mengisikan ruang pentas secara horizontal, pada masa yang sama memberi rasa berat kepada badan penari yang kecil secara vertikal. Gerak yang melangkaui kinesfera telah dijanakan supaya sepadan dengan imej dan size guni. Di sebaliknya, manipulasi kukur yang kecil menjanakan motif pergerakan gerak yang berperibadi, dan ada yang mungkin terlalu kecil sehingga ditenggelami oleh pentas Istana Budaya. Dicadangkan bahawa penggunaan kukur boleh dipelbagai dan ‘diperbesarkan’ lagi di luar daripada fungsi asal kukur, seperti boleh dijadikan benteng yang menghalangkan si teruna daripada mengusik gadis.
Seloka Manuk adalah sebuah hasil karya daripada Wan Mohd Faidz bin Wan Husain, koreografer KBSC Kuala Lumpur. Kreasi joget baharu ini disempurnakan oleh para penari yang amat terlatih dan displin. Ragam-ragam joget yang direkakan adalah kukuh berdasarkan motif burung yang berterbangan, dan memiliki pengkhususan gender yang ketara. Penari mengibar-ngibar atau menghayunkan lengan seperti kepak; melangkah secara staccato, bercuit-cuit kaki ke belakang, melompat dengan satu kaki, seperti gaya lokomotif perjalanan ayam; serta menggerakkan kepala ke depan, dan ke kiri-kanan secara terkawal seperti ayam yang sedang memerhatikan sesuatu. Tari ini adalah cukup asyik sehingga menyebabkan saya terlupa ini merupakan satu tari kanak-kanak pada sesuatu ketika kerana pembawaan karakteristik mereka dalam konteks tari pergaulan Melayu adalah sangat matang. Namun, sifat kesantaian dalam tari sosial Melayu sama ada dari segi fizikal dan emosi mereka boleh dipertingkatkan lagi.
Koreografer Zainuddin bin Abdullah dari KBSC Melaka telah menghasilkan Berbondong-bondong (Beramai-ramai) yang mengembalikan semangat gotong-royong di kampung Melayu. Apa yang menarik di sini adalah koreografer mampu mengubahkan segala perekaan ragam gerak yang diolah daripada aksi pembersihan tapak perumahan menjadi permainan kanak-kanak yang sedang meniru sambil mengajuk pergerakan orang dewasa. Tari kanak-kanak ini adalah sangat unik kerana telah membenarkan kanak-kanak bermain dengan bersungguh-sungguh sekali untuk kerja gotong-royong yang serius! Cangkul, sabit, nyiru dan selendang telah dimanipulasikan dengan mudah tetapi masih meninggalkan impak visual. Kontras di antara ketangkasan lelaki dan kehalusan perempuan bukan saja memaparkan peranan gender yang ketara, namun turut mewujudkan suasana kampung yang harmoni dan seimbang. Tari kreasi ini bermula daripada pembinaan rumah pada waktu subuh, membersihkan tapak, memasangkan bumbung rumah, mengalihkan rumah ke kawasan yang selamat, sehingga menyalakan lampu LED yang berwarna-warni pada waktu malam demi memeriahkan suasana penempatan yang baharu.
Sepanjang tari ini, penonton sentiasa ‘diingatkan’ secara konsisten mengenai kewujudan rumah yang belum selesai sedang dibina. Oleh itu, kejutan adalah berhasil apabila bumbung rumah dialih dan dipasangkan kerana ini satu tindakan yang wajar untuk menyempurnakan sesuatu rumah. Kejutan turut berhasil apabila lampu LED dan lampu suluh dipasangkan semasa gelap kerana ini merupakan satu tindakan yang wajar untuk menjaga keselamatan dan meraikan kelahiran satu keluarga yang baharu. Struktur koreografi sebegini diharapkan memberikan penjelasan yang lebih konkrit, lanjutan daripada komen saya ke atas kreasi Barojin dan Perurum yang diakhiri dengan kesudahan yang kurang menyakinkan, atau kurang ‘wajar’.
Sebagai salah seorang juri dalam kejuaraan ini, saya menyedari masih terdapat banyak masalah yang perlu diselesaikan demi manfaat seni tari kanak-kanak. Namun saya turut kagum terhadap usaha dan kesungguhan JKKN dan pelbagai pihak yang ingin mempromosi dan melestarikan keberlangsungan warisan seni tari. Saya bangga melihat kanak-kanak menari dengan yakin, seronok, serta dilengkapi dengan pemahaman kinestetik dan estetik (walaupun mereka mungkin masih belum sedar).
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peserta Kejuaraan Tari Kanak-kanak 2019, termasuk ibu bapa dan jurulatih yang sentiasa mempercayai kepada penciptaan keindahan gerak melalui badan adalah salah satu sumber untuk kesejahteraan dan kreativiti. Melentur buluh biarlah dari rebungnya!
Leng Poh Gee, salah seorang juri yang ingin merakamkan satu pengalaman indah pada September 2019, yang berpeluang menjelajah beribu-ribu kilometer untuk menyaksikan persembahan tari kanak-kanak di 14 negeri Malaysia. Terima kasih kepada rakan seperjuangan rombongan Husri Yun, Hana Juma, Imanina, Norman, Ian dan Alla Azura Abal Abas.
Semua foto dibekalkan dengan ihsan daripada JKKN.