Tontonan sebuah Pra-tonton: Tarian Cina sempena FESENI Universiti Malaya 2020

03FESENI Universiti Malaya 2020

Dewan Kolej Kediaman Ke-6, Universiti Malaya

7 March 2020

 

Daripada Leng Poh Gee

Semenjak tahun 2015 sehingga ke tahun ini, saya adalah sangat bertuah kerana selalu dijemput menjadi pereka tatacahaya untuk beberapa pasukan yang menyertai pertandingan Tarian Cina sempena Festival Seni Universiti Malaya (FESENI). Satu pra-tonton lazimnya diadakan untuk memudahkan saya supaya tidak perlu menghadiri raptai penuh di kolej kediaman masing-masing.

Saya selalu berasa segan dengan penganjuran pra-tonton tersebut kerana berasa telah menyusahkan ramai orang, dan telah mendedahkan ‘rahsia keindahan’ pihak-pihak yang bakal bertanding. Namun, saya mendapati bahawa para koreografer yang berkenaan sememangnya menyokong penganjuran pra-tonton yang tidak formal ini. Mereka menganggap ini sebagai salah satu platform persediaan bagi penari masing-masing, berpeluang untuk menonton persembahan pasukan yang lain dengan senang tanpa diganggu oleh kerja persediaan pada malam pertandingan, serta berkesempatan untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak. Saya suka akan semangat persaingan yang mulia di kalangan koreografer ini.

Pra-tonton tersebut telah diadakan pada 7 Mac 2020, dan malam pertandingan Tarian Cina FESENI sepatutnya diadakan pada 14 Mac 2020. Walau bagaimanapun, FESENI telah dibatalkan sebagai langkah pencegahan pandemik COVID-19. Saya bertuah kerana berkesempatan menonton enam karya pertandingan (60% daripada pasukan bertanding) secara langsung pada malam pra-tonton.

Kyo Hong merupakan koreografer veteran untuk Kolej Kediaman ke-5. Karyanya ‘Mask On’ memanipulasikan selendang merah dan topeng keledar besar (dai tao fat) yang memiliki muka senyum kaum lelaki dan perempuan. Dengan iringan senandung, para penari perlahan-lahan bergerak ke satu barisan dan memasangkan topeng keledar mengikut gender masing-masing, kemudian bermula menari dengan rancak. Pergerakan mereka amat berteraskan kepada pengkhususan gender: lelaki gagah dan menjangkau ruang yang besar, manakala perempuan halus dan malu. Koreografer amat menekankan transformasi gender yang berlawanan melalui pertukaran topeng. Kualiti pergerakan gender turut berubah mengikut pakaian topeng lelaki atau perempuan. Selendang merah yang panjang diperalatkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan. Apabila mencapai kemuncak perayaan, muzik diberhentikan dan mereka menanggalkan topeng keledar lalu meletakkannya ke atas lantai dengan susunan yang berjarak. Dengan muka yang penuh dengan air peluh, mereka kembali ke barisan asal dan menunduk hormat dengan ikhlas, seolah-olah meraikan diri sebagai seorang bersikap fleksibel dan memuliakan ciri-ciri kepelbagaian yang wujud di kalangan kita.

06

Mohd. Hafzal bin Aziz satu-satunya koreografer Melayu yang telah menyertai acara ini selama dua tahun berturut-turut untuk Kolej Kediaman ke-9. Hasil karyanya ‘Xi Liu Lang’, atau ‘mendulang’, mempamerkan suasana kerja yang riang di lombong bijih timah pada abad ke-19. Topi anyaman yang berbentuk kon telah dimanipulasi untuk menunjukkan pelbagai kegiatan perlombongan seperti mendulang, melindungi badan, menyodok lumpur, mengisi barang dan sebagainya. Manipulasi topi telah juga membawa pelbagai makna yang simbolik, seperti beban yang harus dipikul bersama-sama, dan hasil dapatan yang boleh dikongsi bersama-sama. Pola lantai yang berbeza telah dibentukkan dengan lancar, kemas dan tenang. Transisi pergerakan antara perubahan formasi tidak menimbulkan sebarang riak yang mengacaukan – salah satu kekuatan daripada Hafzal yang terlatih dalam pengertian komposisi tari pergaulan Melayu dan aplikasinya adalah begitu menyakinkan walaupun di genre tari berbeza. Di sini, saya melihat satu integrasi yang amat istimewa di antara tari Melayu dan tari Cina, dan ia memuliakan semangat masyarakat majmuk.

Persembahan koreografi Kolej Kediaman Ke-12, ‘Dance Teases Martial’, dihasilkan oleh Lim Shi Jun, seorang bekas penari daripada Dua Space Dance Theater. Karya yang bersifat pergerakan tulen (pure movement) ini cuba menggabungkan teknik tari dan seni pertahanan diri wushu. Karya ini dimulakan dengan segmen tanpa sebarang peralatan, diikuti dengan penggunaan kipas lipat Cina yang berwarna merah, sehingga ke manipulasi kipas lipat yang panjang. Persembahan solo dan duet memainkan peranan yang penting dalam membuka setiap segmen persembahan. Beban persembahan wushu amat bergantung kepada beberapa penari lelaki yang mungkin mempunyai asas latihan wushu, dan ini menyebabkan perbezaan antara perbendaharaan gerak tari dan wushu adalah jelas kelihatan.

Bangku kecil, kipas satay, dan lagu popular retro 1940an, ‘Rose, Rose, I Love You’, merupakan elemen-elemen komposisi bagi Ng Wen Shin (Gwen), koreografer dari Kolej Kediaman Pertama. Karyanya adalah ‘Saya Suka Melihat Anda dengan Berdiri di Atas Bangku’ yang bersifat puitis. Dengan adanya bantuan daripada bangku kecil dan kipas yang memanjangkan lengan, visual pentas telah diperkayakan dengan pelbagai lapisan aras. Para penari menggambarkan kegembiraan dan kemanisan di kalangan pasangan yang sedang bercinta. Namun, saya mencadangkan interaksi di antara penari lelaki dan perempuan boleh diperbanyakkan lagi melalui motif gerak menunggu’ dan melihat’ seperti dijanjikan dalam tajuk karya.

02

Apabila lagu Cina popular retro 1980an ‘Childhood’ dimainkan, ia telah menimbulkan perasaan nostalgia di kalangan kaum Cina tempatan yang biasa mendengar dan nyanyikannya. Dengan iringan lagu ini, koreografer Kolej Kediaman ke-2, Chew Yee Hsuen (Kathryn), telah menghasilkan karya ‘Childhood’, yang mengembalikan perasaan zaman kanak-kanak melalui paparan pelbagai permainan dengan manipulasi kain batik, seperti tarik tali, lompat tali, tarik upih, usik-mengusik dan sebagainya. Lompatan skip dan berlari dengan lantunan atau hayunan badan merupakan motif gerak utama yang membolehkan para penari bergerak tanpa menghilangkan konsep komposisi yang menekankan keseronokan dan kekacauan kanak-kanak.

‘Kenangan’ merupakan hasil karya Yap Chiw Yi yang mewakili Kolej Kediaman Ke-6. Tari dimulakan dengan seorang penari wanita memasuki sebuah taman buluh dan mengimbas kembali memorinya di taman ini. Batang-batang buluh telah diperalatkan oleh penari lelaki untuk membentukkan pelbagai susunan formasi yang kemas, berselerak, dan kadangkala boleh dipanjat’ oleh penari perempuan. Sapu tangan hijau telah digunakan untuk menggambarkan daun yang berlambai-lambai mengikut tiupan angin kenangan sama ada kencang atau sepoi-sepoi bahasa. Pada akhir persembahan, sapu tangan hijau digugur dan digantikan dengan sapu tangan berwarna perang – satu metafora yang berkesan untuk menunjukkan peredaran masa.

Sebagai salah seorang pengajar tari di UM, saya amat bangga dan gembira untuk bekerjasama dengan Mohd. Hafzal, Gwen, Kathryn dan Chiw Yi yang merupakan graduan daripada program tari UM. Gwen, Kathryn dan Chiw Yi berkongsi beberapa kesamaan dalam koreografi mereka, yang boleh dijadikan kekuatan atau kelemahan bergantung kepada situasi yang berbeza. Ketiga-tiga mereka menggunakan sekurang-kurangnya dua jenis peralatan pentas dan kadangkala saya rasa ini terlalu membebankan dari segi pengolahan gerak dan penerusan interpretasinya. Mereka mengamalkan konsep ‘penuhkan ruang’, sama ada dari segi gerak, muzik, atau kesan visual pementasan – ada yang berhasil dan ada yang tidak. Mereka adalah lebih selesa dalam pengolahan perbendaharaan gerak tari kontemporari berbanding dengan tarian Cina. Perjalanan cerita karya mereka adalah linear, jelas, dan senang diakses oleh orang ramai.

Pertandingan tari di UM FESENI sama ada tari Melayu, Cina, India atau kreasi baru sememangnya menjadi satu acara yang meriah untuk menghubungkan pengamal seni sama ada dari dalam atau luar kampus. Pembatalan FESENI amat menimbulkan kesedihan bagi pelbagai pihak. Untuk meluahkan perasaan tidak berdaya ini, ada koreografer tari Cina melakukan persembahan secara langsung melalui sosial media, dan ada penari pula yang menghasilkan video yang mencatatkan detik-detik dan liku-liku proses pengkaryaan. Manakala saya mendokumentasikan sebahagian daripada pertandingan ini demi menghargai usaha para penari dan koreografer yang ikhlas. Saya juga berdoa agar para koreografer yang kebanyakannya bekerja sebagai freelancer bertahan pada tempoh yang susah ini.

04
Seorang penari dari KK5 di depan banner FESENI. Fotografer: Tan Guang Yi. Nota: Foto ini memenangi tempat kedua dalam pertandingan fotografi yang dianjurkan oleh MKTB Minggu Kebudayaan Tionghua Dayasari.

Leng Poh Gee seorang pengajar tari kontemporari yang kadangkala berpura-pura menjadi pereka tatacahaya untuk produksi pementasan tari.

Photo dibekalkan dengan ikhlas oleh para koreografer yang terlibat, termasuk Kyo Hong, Mohd Hafzal bin Aziz, Chew Yee Hsuen, serta Ang Li Yi, Hu Zhang Wei dan Tan Guang Yi.


Leave a Reply

Your email address will not be published.